mutakhir

Cedera di tangan, diserang dengan parang panjang

Oleh Mohd Rafi Mamat

Bera: Pemandu kenderaan pacuan empat roda cedera di tangan kanan selepas diserang lelaki Orang Asli dengan parang panjang di Bukit Penchorong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Bera, Superintendan Mansor Samsudin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama sepasukan kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bera membuat pemantauan kawasan lesen di Hutan Simpan Bukit Penchorong.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke Kampung Orang Asli Bukit Penchorong, mereka ternampak lori membawa peralatan pembinaan rumah di tepi jalan.

"Mangsa bertindak menghampiri lori terbabit dan melihat terdapat dua individu sedang makan di tepi lori.

"Mangsa menurunkan sedikit cermin tingkap kenderaannya dan memanggil lelaki terbabit untuk bertanya sesuatu.

"Secara tiba-tiba seorang lelaki Orang Asli datang ke arah mangsa dan meletakkan parang ke leher mangsa menyebabkan dia bertindak menepis parang panjang berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mansor berkata, tindakan mangsa menyebabkan pergelangan tangan kanannya cedera terkena senjata berkenaan.

Katanya, mangsa segera menutup cermin tingkap kenderaan kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku kerana suspek mempunyai senjata parang.

"Suspek kemudian bertindak kasar dengan cuba membuka pintu belakang kenderaan namun gagal kerana semua pintu terkunci.

"Suspek menjerit sambil memberitahu barangan di dalam lori miliknya untuk membina rumah ibadah di Kampung Orang Asli Bukit Penchorong," katanya.

Beliau berkata, mangsa mendapatkan rawatan kecederaan dialami di Klinik Kesihatan Bandar 32.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar 32, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Cuba Bunuh)," katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2022 @ 4:09pm
d