mutakhir

Kuota haji: Kerajaan kemuka rayuan dalam masa terdekat

Oleh Samadi Ahmad

Cyberjaya: Kerajaan akan membuat rayuan berhubung penambahan kuota jemaah haji melalui Kedutaan Arab Saudi di Malaysia dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Ahmad berkata, kerajaan berharap kuota jemaah haji Malaysia ditambah sekiranya ada negara yang menolak untuk menunaikan ibadat itu tahun ini.

Menurutnya, kerajaan akan cuba membuat rayuan melalui jumlah diluluskan sebelum ini iaitu seramai 31,600 bersamaan 45 peratus yang terpakai buat semua negara lain.

"Kita akan cuba merayu dan memohon ihsan dari Kerajaan Arab Saudi namun tidak dapat memberi jaminan sama ada permohonan ini diluluskan atau tidak," katanya kepada media pada Majlis Perasmian Program Semarak Kasih Ramadan 1443 Bersama Komuniti DiSayangi di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Pada program itu Idris turut menyampaikan sumbangan berupa wangtunai kepada 100 penerima terdiri dari komuniti hijrah,Orang Dengan HIV/Aids,Orang Kena Pengawasan (OKP)Dadah dan penghuni rumah perlindungan.

Program anjuran JAKIM itu diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Masjid Raja Haji Fi Sabillilah.

Disiarkan pada: April 21, 2022 @ 9:59pm
d