mutakhir

RM28.4 juta memperkasa peserta Felcra

Oleh Roselan Ab Malek

Lipis: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM24.8 juta kepada Felcra Berhad bagi pelaksanaan dan pembangunan aktiviti memperkasakan 24,000 pesertanya di Pahang, tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 Datuk Seri Abdul RahmanMohamad berkata, menerusi peruntukan tersebut di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-12, kementerian akan memfokuskan kepada usaha merapatkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar.

"Selain itu, kemudahan infrastruktur asas termasuk ameniti sosial diperluas, serta pembangunan modal insan dan peningkatan kadar pendapatan warga luar bandar akan turut diberi tumpuan.

"Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangun dan memajukan masyarakat luar bandar melalui KPLB dan Felcra Berhad," katanya pada sidang Media Majlis Iftar Warga Felcra Kawasan Sungai Temau, Kuala Lipis di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad Datuk Mat Roni Zakaria.

Pada majlis tersebut, Abdul Rahman turut menyampaikan replika Cek Agihan Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021 Fasa 2 Peserta Fekcra Berhad Daerah Lipis dan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Al-Ihsan DaerahLipis.

Beliau berkata, sehingga Julai 2020, , Felcra Berhad memajukan 224,130 hektar ladang bagi pihak 107,000 peserta merangkumi 1,049 Projek Penyatuan dan Pemulihan, serta 33,145 hektar estet milik syarikat Felcra Berhad.

Abdul Rahman berkata, 298 projek yang ditadbir oleh 32 kawasan yang menjadikan luas keseluruhan tanah yang dibangunkan melebihi 52,000 hektar di seluruh Pahang.

"Komitmen yang ditunjukkan oleh Felcra Berhad mengubah lanskap pembangunan luar bandar melalui peningkatan taraf hidup dan pendapatan penduduk luar bandar melalui aktiviti pembangunan tanah.

"KPLB amat menyokong pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan berimpak tinggi di setiap Projek Felcraagar dapat memberi manfaat kepada peserta dan masyarakat di sekeliling projek, terutama dari segi peningkatan potensi pendapatan mereka," katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2022 @ 11:53am
d