mutakhir

Lepaskan tembakan ke arah lori bawa arak seludup cuba lari

Oleh Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan pegawai Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ke arah sebuah lori membawa minuman keras tanpa cukai yang enggan berhenti selepas merempuh kereta peronda peronda polis (MPV) di Iskandar Puteri di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.12 petang itu, lori berkenaan dikejar sejauh 20 kilometer bermula dari Jalan Danga Bay sebelum berjaya ditahan di Susur Tol Lima Kedai di sini sejam kemudian.

Difahamkan, lori berkenaan membawa 22,400 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta termasuk cukai.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan dari pegawai kastam terbabit untuk menahan sebuah lori yang disyaki membawa muatan tidak bercukai.

Katanya, tiga MPV diarah ke lokasi. Sebelum berjaya ditahan, lori terbabit melanggar sebuah MPV polis sehingga mengalami kerosakan pada bahagian belakang, tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"Pemandu lori berusia 40- an itu berjaya ditahan di Jalan Tuas Lima Kedai. Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek direman 10 hari bermula hari ini hingga 1 Mei depan untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan JKDM dalam memastikan saki-baki ahli sindiket penyeludupan termasuk beberapa kumpulan tonto dibanteras.

Katanya mereka ini telah mengancam keselamatan penguat kuasa dan perkara ini dianggap mencabar pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas.

"Polis menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh membantu siasatan ini agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Fakhira Mat Radzi ditalian 017-2123370.

"Siasatan dijalankan mengikut sekysen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan seksyen 39D Akta Senjata 1960 kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajibannya," katanya.

Sebelum itu, tular video berdurasi 1 minit 22 saat itu melihatkan kenderaan kastam pada mulanya telah membunyikan siren bagi meminta lori berkenaan untuk berhenti.

Bagaimanapun secara tiba-tiba, lori terbabit berhenti secara mengejut di tengah jalan sebelum cuba mengundur dan melanggar kenderaan pihak berkuasa.

Video berkenaan turut menyaksikan anggota JDKM kemudian bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori berkenaan.

Lori itu bagaimanapun terus melarikan diri dan memandu secara melulu

#kw lori, arak, kastam, tembak, lari, Johor Bahru

Disiarkan pada: April 22, 2022 @ 5:01pm
d