mutakhir

Kaji semula larangan penggunaan Moped, PMD, PMA

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengkaji semula larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) seperti diumumkan baru-baru ini.

Badan bukan kerajaan berpendapat kenderaan jenis itu dapat mengurangkan kadar penggunaan bahan bakar fosil selain mengurangkan pencemaran bunyi udara serta kadar pelepasan karbon.

Aktivis Belia Prihatin Akid Anuar berkata, kerajaan mungkin boleh menggunakan pendekatan yang lebih baik iaitu menyediakan prasarana mesra kenderaan mikromobiliti seperti memperluaskan konsep laluan khusus bagi pengguna basikal terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Katanya, ia bagi menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam sekitar selain menjadi penyelesaian kepada kesesakan di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Kita boleh ambil contoh pelaksanaannya di negara-negara maju yang meraikan kenderaan dua roda elektrik berteknologi baru.

"Dari sudut sektor pelancongan juga, kenderaan sebegini pastinya dapat memudahkan pelancong bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam jarak yang dekat," katanya.

Selasa lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kenderaan mikromobiliti jenis Moped, PMD dan PMA adalah dilarang penggunaannya di atas jalan berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, larangan terhadap tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 yang berkuat kuasa 17 Dis 2021.

Menurutnya, penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.

Dalam perkembangan sama, Belia Prihatin juga menyeru agar semua lapisan masyarakat dapat memainkan peranan bersama dalam memastikan sasaran negara bagi sifar pelepasan karbon menjelang tahun 2050 dapat dicapai dengan dengan inisiatif penanaman pokok, penggunaan ekonomi kitaran serta pembangunan rendah karbon.

Akid berkata, ia penting demi memastikan kelangsungan kelestarian alam dan antaranya ialah kurang menggunakan kenderaan dengan bahan bakar.

"Ini peranan kita bersama. Kesedaran ini perlu dipupuk sejak awal dan inilah apa yang Belia Prihatin sedang usahakan," katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2022 @ 8:40pm
d