mutakhir

Wanita rugi RM31,451 ditipu bomoh 'online'

Oleh Melvin Joni

Mukah: Wanita berputih mata selepas diperdaya oleh bomoh 'online' yang kononnya dapat mengubati penyakit dan menyelesaikan masalahnya dengan teman lelaki.

Mangsa mengalami kerugian RM31,451 akibat ditipu oleh bomoh yang dikenalinya melalui Facebook (FB) itu.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, pengasuh kanak-kanak berusia 38 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia yang dikenali Ustaz Mangkubono menerusi FB pada 24 April lalu.

Menurutnya, mangsa sering berkongsi masalah kepada lelaki berkenaan bahawa dirinya ada menghidap penyakit sawan, kemurungan dan ada masalah dengan teman lelaki.

"Lelaki berkenaan juga memberikan penerangan kepada mangsa tentang upacara ritual bagi menyembuhkan sesuatu penyakit dengan cepat dan akhirnya mangsa percaya.

"Selepas mangsa diyakinkan oleh suspek berkaitan kaedah dan keberkesanan perubatan itu, suspek mengatakan dirinya memerlukan modal kewangan untuk membeli barang-barang keperluan ritual," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Rizal berkata mangsa yang termakan dengan kata-kata suspek kemudian melakukan tujuh transaksi wang ke akaun bank penama Leni Taryati dari 24 April hingga 26 April lalu dengan jumlah transaksi RM23,451.

"Transaksi kelapan pada 26 April lalu dibuat ke akaun bank penama Lim Siew Chian berjumlah RM8,000.

Beliau menambah mangsa juga sering dihubungi suspek untuk meminta wang.

Oleh kerana merasakan dirinya ditipu, Muhamad Rizal berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mukah pada 5 petang semalam.

Menurutnya, mangsa memperoleh wang berkenaan hasil jualan dan gadaian emas miliknya serta meminjam wang daripada keluarganya bagi menanggung kos ritual perubatan berkenaan.

"Segala kenyataan mangsa sudah dirakam mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan segala dokumen sokongan dari mangsa turut diperoleh bagi membolehkan kertas siasatan dibuka.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2022 @ 11:33am
d