mutakhir

Nagaenthran selamat disemadikan [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Jasad mendiang Nagaenthran Dharmalingam, rakyat Malaysia yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura selamat disemadikan pada 5 petang di Krematorium Buntong, Jalan Madras di sini.

Jasad Nagaenthran yang dibawa dari rumahnya di Taman Indah Tanjung Rambutan pada jam kira-kira 3 petang tiba di pusat pembakaran mayat itu pada 4 petang.

Sebaik jasad mendiang tiba, suasana hiba menyelubungi pekarangan krematorium itu apabila ahli keluarga dan rakan tidak dapat menahan kesedihan sejurus jasad Nagaenthran diuruskan mengikut adat dan kepercayaan agama hindu.

Ahli keluarga yang hadir memberikan penghormatan terakhir serta meletak bunga pada mendiang dalam upacara keagamaan berlangsung selama satu jam itu.

Jasad Nagaenthran kemudiannya dibawa ke pusat pembakaran pada 5 petang untuk proses persemadian mengikut cara dibakar.

Rabu lalu, media melaporkan hukuman mati terhadap Nagaenthran, 34, anak kedua daripada empat beradik itu dilaksanakan di Singapura selepas cabaran undang-undang terakhir yang dibuat ibunya gagal.

Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya menjalani hukuman pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19 ketika hadir untuk rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

Disiarkan pada: April 29, 2022 @ 6:06pm
d