mutakhir

Keluarga Moonee bakal dapat tandas, bilik air

Oleh Izad Thaqif Hassan

Alor Setar: Kerja membaik pulih kediaman enam sekeluarga yang hidup tanpa tandas dan bilik air sejak 17 tahun lalu di Kampung Tupai, Sik, bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Badrul Hisham Abdul Rahman berkata, semakan rekod mendapati Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Daerah Sik, sudah memutuskan untuk memberi bantuan baik pulih rumah kepada keluarga berkenaan, tahun lalu.

Menurutnya, permohonan bantuan baik pulih rumah keluarga berkenaan sudah diluluskan pada Julai 2021 dan kontraktor dilantik sudah ke lokasi untuk memulakan kerja, Mac lalu.

"Namun, disebabkan keluarga berkenaan tidak mempunyai rumah lain untuk didiami buat sementara waktu, kerja baik pulih terpaksa ditangguhkan.

"Selain keadaan rumah, ketika itu juga sudah hampir Ramadan dan pihak kontraktor berbincang dengan ketua keluarga yang kemudian bersetuju untuk menangguhkan terlebih dahulu kerja baik pulih rumah terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerja baik pulih yang dijangka mengambil masa dua bulan itu akan disambung semula selepas ini.

"Kerja baik pulih rumah keluarga berkenaan dilakukan bagi membolehkan mereka hidup selesa dengan persekitaran yang bersih dan selamat.

"Hasil semakan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati keluarga berkenaan menerima bantuan bulanan berjumlah RM850, sejak Disember 2020," katanya.

Portal Harian Metro Jumaat lalu melaporkan suami isteri Abdul Razak Man, 60, dan Moonee Saleh, 33, bersama empat anak lelaki mereka berusia lima hingga 16 tahun tinggal di rumah yang tidak mempunyai tandas dan bilik air, sejak 17 tahun lalu.

Selain itu, kediaman dihuni keluarga terbabit juga tiada peralatan elektrik seperti televisyen, mesin basuh serta peti sejuk dan jika mahu membuang air, mereka akan menumpang di rumah saudara yang terletak berhampiran.

Badrul Hisham berkata, suami isteri terbabit selama ini mencari rezeki dengan mengambil upah menoreh getah dan pendapatan mereka tidak menentu.

"Namun, disebabkan faktor cuaca sejak kebelakangan ini membuatkan mereka tidak dapat keluar menoreh sekali gus menjejaskan sumber pendapatan pasangan terbabit.

"Isteri Abdul Razak berasal dari Thailand dan anak bongsu pasangan itu didapati meninggal dunia baru-baru ini pada usia dua tahun," katanya.

Berita berkaitan

Rumah tiada tandas sejak 17 tahun lalu [METROTV]

Disiarkan pada: May 1, 2022 @ 9:27am
d