mutakhir

Hajat makan bersama tak kesampaian

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Hajat dua beranak untuk makan di sebuah kedai di daerah ini tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, peniaga keropok, Faridah Ali, 48, yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada bahagian kepala.

Dua lagi mangsa iaitu anak perempuan mangsa, Shafiqa Aliea Abd Jalil, 20, dan pejalan kaki warga Myanmar masing-masing cedera di kepala.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, dua beranak itu membeli barang keperluan dan kejadian dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke kedai makan.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi, Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal jenis Yamaha Ego ditunggang dua beranak itu dalam perjalanan dari arah Kampung Bukit Gasing menghala ke Kuala Terengganu untuk makan di sebuah kedai di daerah ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, seorang pejalan kaki tiba-tiba melintas jalan dan jarak yang dekat menyebabkan anak perempuan mangsa yang menunggang motosikal itu tidak sempat mengelak lalu terlanggar lelaki terbabit.

"Akibat daripada perlanggaran itu, penunggang motosikal terseret ke hadapan di lorong sebelah kanan manakala mangsa tercampak ke sebelah kiri jalan.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Dua lagi mangsa turut dibawa ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Disiarkan pada: May 1, 2022 @ 10:26am
d