mutakhir

Pintu sempadan ICQS Rantau Panjang lengang [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang lengang walaupun pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka sejak semalam.

Tinjauan ke lokasi berkenaan hari ini, mendapati beberapa buah kereta diparkir di hadapan ICQS dan kelihatan sejumlah kecil sahaja pengunjung yang masuk ke pejabat untuk membuat pas sempadan.

Seorang penduduk tempatan, Mamat Daud, 60, yang ditemui di hadapan ICQS Rantau Panjang mengakui hanya datang melihat situasi semasa dan mengambil keputusan untuk tidak ke Thailand lagi kerana memikirkan syarat baru yang dikenakan.

"Saya kalau dah boleh pergi ke sana, sudah tentu mahu bawa seluruh keluarga yang hampir tiga tahun tidak berjumpa sanak saudara sebelah sana (Thailand). Tapi saya difahamkan tidak boleh bawa kenderaan, malah harus berjalan kaki sehingga ke pintu negara mereka.

"Tambahan pula, saya diberitahu oleh rakan yang sudah pulang ke sana bahawa mereka hanya dibenarkan untuk berada di sana selama tiga hari sahaja.

"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan rakyat Malaysia untuk ke Thailand, walaupun banyak proses perlu dilalui kerana yakin ia dilakukan demi kebaikan semua," katanya.

Tiga pintu sempadan di Kelantan mula dibuka semalam iaitu di Pengkalan Kubor, Tumpat, Bukit Bunga di Tanah Merah dan Rantau Panjang.

Sementara itu, Mohd Yusoff Mohamad, 56, bersedia untuk melakukan semua prosedur yang ditetapkan demi bertemu dengan adik beradik di Pekan Golok selepas sekian lama berpisah.

"Saya sudah sediakan pas sempadan serta lengkap vaksinasi termasuk dos penggalak. Selain itu, saya diberitahu untuk mengisi beberapa borang dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum berjalan kaki melintasi jambatan untuk melepasi pintu pihak berkuasa di sana.

"Alhamdulillah, saya bernasib baik, kerana adik sudah menunngu di sebelah sana untuk mengambil saya dengan menunggang motosikal. Ada juga beberapa individu yang saya lihat keluar dan masuk dengan berjalan kaki melepasi pintu sempadan ini.

"Sejujurnya, saya sendiri terkejut melihat suasana hari ini yang lengang tanpa ramai orang kerana menyangka ia akan sesak memandangkan ramai yang mahu pulang atau melancong ke Thailand," katanya yang tinggal di Kota Bharu.

Disiarkan pada: May 6, 2022 @ 12:51pm
d