mutakhir

Dibunuh suami sehari sebelum Aidilfitri

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kajang: Tragedi sehari sebelum Aidilfitri, seorang wanita menemui ajal apabila dibunuh suaminya kerana tidak berpuas hati mangsa memuat naik di media sosial berkaitan kecurangan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pegawai perubatan Hospital Kajang pada 9.16 pagi Ahad lalu berkaitan seorang wanita berusia 28 tahun tidak sedarkan diri yang dihantar oleh suaminya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia yang mana setelah dibuat pemeriksaan luaran ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di beberapa anggota badan mangsa.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 11 pagi mendapati punca kematian adalah kecederaan abdomen disebabkan hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul.

"Kejadian berlaku sehari sebelum Aidilfitri di sebuah rumah flat di kawasan pentadbiran Balai Batu 9, Cheras.

"Mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan kaki dan tangan serta senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Zaid berkata, pihak polis kemudian menahan suami mangsa berusia 38 tahun bekerja sebagai mekanik kereta untuk siasatan lanjut, pada hari sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

"Motif pembunuhan adalah suspek marah dengan mangsa disebabkan dia memuat naik di media sosial bahawa saspek mempunyai hubungan sulit," katanya.

Beliau berkata, siasatan kes ini menemukan bukti dan keterangan jelas mengaitkan suspek terbabit.

"Kes dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan bersetuju menuduh saspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kajang Isnin ini," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2022 @ 8:39pm
d