mutakhir

Mayat lelaki bogel terapung dipercayai rakyat negara jiran

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Mayat lelaki bogel dalam keadaan kaki dan tangan diikat serta muka ditutup dengan kain yang ditemukan di Sungai Golok, Kampung Simpangan, di sini, semalam dipercayai bukan warga Malaysia.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan belum menerima sebarang laporan berkaitan orang hilang.

Menurutnya, kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand juga dibuat bagi mengesan sama ada mangsa adalah rakyat negara jiran itu.

"Kita belum lagi terima laporan berkenaan orang hilang dan masih berhubung dengan pihak berkuasa Thailand mengenai perkara itu.

"Mangsa juga dipercayai bukan warga Malaysia dan disyaki tinggal di pinggir Sungai Golok di sempadan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, sampel daripada mayat lelaki yang dianggarkan berusia 30-an hingga 40-an itu juga sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis.

Menurutnya, proses bedah siasat yang dilakukan semalam mendapati banyak organ dalaman mangsa rosak disebabkan terapung terlalu lama.

"Proses bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Tumpat dan mendapati banyak organ dalaman mangsa sudah rosak dipercayai terlalu lama di dalam sungai," katanya.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan polis menerima panggilan mengenai penemuan mayat lelaki terapung di Sungai Golok dalam keadaan bogel serta tiada kesan suntikan imunisasi Bacillus Calmette Guerin (BCG) pada 7.25 pagi semalam.

Berita berkaitan

Disiarkan pada: May 7, 2022 @ 4:06pm
d