mutakhir

Lelaki maut motosikal tergelincir ke dalam sungai

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Lelaki ditemukan meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di tebing sungai jalan batas ban di Jalan Langgar, hari ini.

Mangsa berusia 23 tahun itu ditemui masih memakai topi keledar dan berpakaian lengkap oleh orang awam pada 6.50 pagi sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, anggotanya dari Balai Polis Langgar menerima maklumat berhubung kejadian itu.

Katanya, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati, kemalangan berlaku ketika motosikal Yahama Y125ZR yang ditunggangi mangsa dari arah Jalan Langgar, melalui jalan batas ban menuju ke arah Telaga Mas.

"Ketika melalui sebuah titi kecil di tempat kejadian, tayar hadapan motosikal itu dipercayai terlanggar pada tebing titi menyebabkan ia hilang kawalan ke kanan dan seterusnya melanggar tebing titi.

"Kemudian, motosikal bersama penunggangnya dipercayai terpelanting ke hadapan dan terlanggar tebing sungai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Shukri berkata, mayat mangsa hanya ditemui pada 6.50 pagi oleh seorang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui lokasi kejadian dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

"Mangsa yang beralamat di Kampung Padang Kunyit, Telaga Mas, Pokok Sena itu mengalami luka di kepala dan lengan dan mayatnya kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2022 @ 6:28pm
d