mutakhir

Menyamar polis, peras ugut remaja

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Seorang pemuda dikesan menyamar sebagai anggota polis sebelum memeras ugut sepasang remaja supaya diberikan wang.

Tindakannya bagaimanapun mengundang padah apabila ditahan polis, Jumaat lalu susulan laporan yang dibuat mangsa yang berusia 16 dan 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa membuat laporan telah diperas ugut ketika berada di kawasan pemandangan pendaratan pesawat berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada Selasa.

"Hasil laporan kita mengesan suspek berusia 26 tahun dan dia diberkas di Jalan Kampung Perlis, Bayan Lepas, di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya merampas sebuah motosikal yang digunakan pada hari kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mengetahui sebarang kesalahan jenayah untuk melaporkan ke Bilik Gerakan Polis Barat Daya di talian 04-8664122, 0192238169 (WhatsApp) atau aplikasi Messenger FB Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Disiarkan pada: May 9, 2022 @ 10:32am
d