mutakhir

Sada henti operasi empat LRA

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini terpaksa dihentikan berikutan kejadian runtuhan ban kanan Terusan Tengah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) semalam.

Syarikat Air Darul Aman (Sada) berkata, loji terbabit adalah LRA Bukit Pinang, LRA Pokok Sena, LRA Jenun Lama dan LRA Jenun Baru yang menyebabkan gangguan bekalan air ke atas kira-kira 80,000 akaun pengguna.

Katanya, masalah bekalan air dijangka menjejaskan orang ramai di daerah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, dan Yan.

"Henti tugas empat LRA ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan anggaran 80,000 akaun merangkumi empat daerah berkenaan.

"Mada giat mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu ini dengan kadar segera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Sada terpaksa menghentikan tugas LRA Bukit Pinang akibat kejadian itu menyebabkan 75,000 akaun Sada di Kota Setar dan Pokok Sena mengalami gangguan bekalan air.

Kejadian ban pecah seliaan Mada itu berlaku susulan hujan lebat di kawasan tadahan dan di dataran semalam menyebabkan aliran tidak terkawal dan paras air dari tadahan Sungai Padang Terap, meningkat.

"Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook Syarikat Air Darul Aman dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my," katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2022 @ 8:35am
d