mutakhir

Gementar pertama kali pertama berbasikal di negara orang

Oleh Redzuan Muharam

London: "Perasaan gementar masih ada kerana pertama kali menjejakkan kaki ke sini dan saya mungkin ambil masa dua minggu untuk biasakan diri di tempat orang," kata Wan Muhammad Faris Wan Mohd Noor .

Wan Muhammad Faris, 33, adalah pemuda Setia Alam, Selangor yang menjalankan Misi Jelajah Berbasikal Solo Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) #FarisNoor ke 20 negara di Eropah.

Seperti dijadualkan, Wan Muhammad Faris bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 11.30 malam Sabtu lalu dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, di sini jam 5.50 pagi Ahad waktu tempatan.

"Alhamdulillah, perjalanan ke sini berjalan lancar termasuk ketika berurusan di kaunter imigresen cuma pihak keselamatan tidak benarkan saya mengayuh basikal daripada lapangan terbang kerana laluan yang agak bahaya.

"Jadi, saya naik bas dari lapangan terbang ke Victoria Station dan bernasib baik kerana terserempak dengan Aimi iaitu penuntut Malaysia yang belajar di Universiti Kent kerana mengajar cara membeli tiket.

"Tiba di Victoria Station, barulah saya mengayuh basikal ke asrama yang terletak berhampiran dengan Hyde Park," katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi WhatsApp.

Menurut Wan Muhammad Faris, kedatangannya ke United Kingdom (UK) ibarat langkah kanan kerana berpeluang ke Hyde Park untuk menyambut hari Ulangtahun ke7 77 kejayaan British dalam Perang Dunia Kedua .

Katanya, masa yang ada pada hari pertama juga digunakan untuk membeli barang dapur untuk makan malam serta sarapan pagi.

"Pada sebelah malam pula, saya luangkan masa berehat dan berkenalan dengan rakan asrama sekali gus berkongsi cerita mengenai negara dan budaya satu sama lain.

"Hari yang produktif cuma kena tahan mata untuk tidur kerana 'jet lag' namun saya berharap perjalanan hari berikutnya dipermudahkan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Wan Muhammad Faris Wan Mohd Noor yang akan merealisasikan impiannya menjalankan misi jelajah berbasikal solo.

Misi pengembaraan itu akan mengambil masa selama 74 hari bermula Sabtu lalu hingga 21 Julai depan dari sini ke ke Istanbul, Turki.

Disiarkan pada: May 10, 2022 @ 3:01pm
d