mutakhir

ICQS Pengkalan Kubor mula dikunjungi [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Memasuki hari keenam pembukaan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini, mula dikunjungi orang ramai.

Tinjauan Harian Metro di jeti JKR Feri, di sini, mendapati orang ramai mula menunggu seawal 7 pagi untuk mengecop pasport dan pas sempadan untuk menggunakan perkhidmatan feri ke negara jiran.

Bagaimanapun, terdapat pemegang pasport terpaksa berpatah balik disebabkan mereka tidak mengisi pas Thailand secara dalam talian yang perlu diisi dua hari lebih awal sebelum diluluskan.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Azhar Abd Hamid berkata, walaupun tiga ICQS sudah dibuka sejak 5 Mei lalu, hanya Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor dilihat lebih mengalami pergerakan keluar masuk orang ramai.

"Bermula 6 Mei dan 7 Mei, pergerakan keluar masuk semakin dilihat walaupun tidak begitu ketara mungkin disebabkan ramai yang tidak mengetahui kebenaran itu walau sudah diuar-uarkan.

"Pengembara dinasihatkan untuk berhubung dengan pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan sebarang keperluan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa.

"Mereka juga perlu memohon insurans tapi untuk pemegang pasport Thailand tidak perlu berbuat demikian, manakala pemegang pas sempadan pula tidak memerlukan insurans sebaliknya hanya imbas kod bar serta lengkap dua dos vaksin Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, pengusaha kedai makan Wan Ibrahim Wan Ishak, 64, berkata dia dan isterinya, Faridah Yusof, 58, menunggu pembukaan sempadan sejak sekian lama kerana sudah tiga tahun tidak menziarah kaum keluarga di Narathiwat.

Dia yang menetap di Gombak, Selangor berkata, terdapat sanak saudaranya meninggal dunia dalam tempoh pandemik Covid-19 tanpa sempat bersua muka.

"Sebelum ini, kami hanya mampu menghampiri kawasan ICQS sahaja sambil merenung sempadan sana (Thailand) kerana terlalu rindukan kampung halaman.

"Walaupun hanya tiga hari sahaja dibenarkan berada di Narathiwat disebabkan undang-undang negara itu, ia sudah memadai bagi melepaskan kerinduan," katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2022 @ 3:24pm
d