mutakhir

Kejadian letupan gas tiada unsur jenayah

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Insiden letupan gas yang mencederakan lima sekeluarga di Taman Cenderawasih, Jawi di sini malam kelmarin tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Lee Chong Chern, berkata sebaik kejadian itu Unit Pemusnah Bom (UPB) turut ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan sama ada terdapat bahan letupan sehingga berlaku insiden terbabit.

Bagaimanapun katanya, tiada apa-apa yang ditemui di lokasi kejadian.

"Buat masa ini siasatan semasa mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada letupan tong gas dan tiada sebarang unsur jenayah.

"Polis juga belum menerima sebarang keputusan forensik daripada pihak bomba," katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, polis memohon kerjasama orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita mohon beri ruang kepada polis," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, lima sekeluarga berusia antara lima hingga 35 tahun dilaporkan cedera selepas berlaku insiden letupan tong gas memasak di rumah didiami mereka.

Ketika kejadian, kesemua mereka dikatakan baharu pulang ke rumah sebelum berlaku letupan berkenaan semasa hendak membuka pintu.

Susulan itu, kelima-lima mereka yang mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.

Insiden berkenaan turut mengakibatkan beberapa buah rumah mengalami kerosakan dengan sebahagian dinding konkrit dan siling runtuh.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, sumbangan dibawah Tabung Bantuan Segera Negeri (TBSN) sudah disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.

"Semua mangsa terbabit sudah dikenalpasti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan bantuan sudah diserahkan kepada mereka.

"Pada masa sama, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan bantuan pemulihan untuk tiga buah rumah yang rosak dalam kejadian letupan berkenaan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Menangis minta tolong dalam keadaan berlumuran darah [METROTV]
  • Disiarkan pada: May 10, 2022 @ 5:34pm
    d