mutakhir

Jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah ditutup sementara

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Bentong: Jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah di sini, ditutup berikutan kejadian tanah runtuh dan banjir susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, terdapat beberapa lokasi tanah runtuh di kawasan berkenaan menyebabkan laluan terpaksa ditutup buat sementara.

"Bagaimanapun, jalan ke arah Janda Baik masih boleh dilalui. Cuma jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah yang ditutup.

"Buat masa ini trend air sedang menurun di kawasan yang dinaiki air," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, polis bersama pelbagai pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di lokasi kejadian bagi membantu serta mengawal keadaan.

Namun, katanya, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan rakaman video yang menunjukkan kejadian banjir serta tanah runtuh yang dikatakan berlaku di kawasan Janda Baik.

Disiarkan pada: May 11, 2022 @ 11:47am
d