mutakhir

Tidak mengaku rogol remaja OKU

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan merogol remaja Orang Kurang Upaya (OKU) di sebuah rumah di Padang Besar, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Zawawi Ahmad Taufek, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Zawawi didakwa merogol remaja yang berusia 14 tahun ketika itu di sebuah rumah tidak bernombor di Padang Besar pada jam 3 pagi, 17 September 2020.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau tidak kurang daripada 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Lee Jun Keong yang menawarkan jaminan RM20,000 dan dua penjamin terhadap tertuduh.

Namun peguam Afida Nurizzatie Abdul Lateh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu jaminan dikurangkan mengambil kira tertuduh berpendapatan RM1,300 dan perlu menanggung tiga anak serta ibu yang hanya menjual nasi lemak, selain bapa tiri tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Jun.

Disiarkan pada: May 12, 2022 @ 6:53pm
d