mutakhir

Dua maut, kereta bertembung di Bukit Atap

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 16, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling berdekatan Bukit Atap, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada 7.55 malam, mangsa yang maut adalah pesara Jabatan Pemetaan berusia 68 tahun dan lelaki berusia 23 tahun akibat kecederaan parah di dada serta kepala.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Honda City dipandu warga emas berkenaan dari arah Jerantut dipercayai cuba memotong kereta Proton Waja di hadapannya.

"Ketika mangsa sedang memotong, tiba-tiba sebuah kereta Honda Jazz datang dari arah hadapan menyebabkan berlaku pertembungan.

"Warga emas berkenaan mengalami kecederaan parah di dada dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Jerantut, manakala penumpang kereta Honda Jazz pula maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu dan penumpang kereta Proton Waja tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu Honda Jazz mengalami kecederaan di bahagian dada dan mendapat rawatan di hospital sama.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 3:34pm
d