mutakhir

Umno tidak mahu bergelut masalah dalaman - Ahmad Zahid [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Beberapa pendekatan termasuk keabsahan kelulusan pindaan Perlembagaan Umno dapat memberi ruang kepada parti itu mengorak langkah dan menyusun strategi berkesan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pada masa depan tanpa perlu bergelut dengan masalah dalaman.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu adalah usaha, amanah dan tanggungjawab ahli Umno terhadap kelangsungan parti.

Malah katanya, ia menuntut ahli Umno untuk berlapang dada dan berjiwa besar, bagi memastikan parti terus mekar menuju ke satu abad perjuangannya.

Menurutnya, pendekatan Umno yang juga memberi ruang kepada muka-muka baharu pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah antara bukti parti turut tidak ketandusan pemimpin.

"Ini memperlihatkan kesiapsiagaan Umno, untuk memastikan obor perjuangan parti terus semarak menyongsong usia 100 tahun.

"Inilah kedinamikan politik Umno. Kita sentiasa bersedia membuat anjakan agar sesuai dengan tuntutan semasa. Kini, jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun, melebihi 12 juta orang atau mewakili 58 peratus daripada jumlah keseluruhan 21 juta pengundi.

"Apakah Umno tidak cakna akan perkara ini? Apakah kita yang sudah bertapak dan menjadi wakil rakyat sejak lima, enam, tujuh atau lapan penggal masih merasakan ini zaman kita lagi? " katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Agung Umno (PAU) Khas di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut menegaskan, rakyat semakin tidak selesa dengan percaturan pihak tertentu yang sering mencari 'suaka politik' untuk kepentingan diri dan kedudukan.

Beliau berkata, pada PRU yang lalu, Umno dan Barisan Nasional (BN) berlapang dada menerima kekalahan dan mengakui hakikat keputusan rakyat tanpa sebarang kekacauan.

"Suka saya tegaskan, Umno tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu.

"Umno punya catatan membangunkan negara... Umno bersejarahkan kemakmuran dan kestabilan. Umno berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan.

"Justeru, soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan adalah agenda yang tidak pernah luput, daripada kamus perjuangan Umno," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 5:14pm
d