mutakhir

KASA sudah laksana penilaian atasi isu banjir Janda Baik [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sudah melakukan penilaian bagi kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan bagi mengatasi masalah banjir kilat di Janda Baik, Pahang.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, tindakan sudah diambil Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkaitan berhubung isu itu.

"KSU sudah turun padang meninjau kedudukan dan menyelaras kerja pembaikan serta penambahbaikan termasuk mengenalpasti punca berlakunya banjir di situ.

"Pada masa sama, langkah jangka pendek dan panjang turut dikemukakan untuk mengatasi masalah dan saya percaya tindakan pantas ini akan dapat tangani isu ini sebaik mungkin," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran parlimennya di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta supaya kerajaan negeri itu bekerjasama dengan KASA bagi menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai yang menjadi punca banjir kilat di sekitar Janda Baik, Bentong, baru-baru ini.

Terdahulu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan supaya disegerakan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong.

Baginda juga turut mahu Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong, termasuk pembinaan Stesen Telemetri dan Stesen Amaran Banjir di huluan kawasan Janda Baik, turut disegerakan.

Dalam pada itu, Mansor berkata, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu mengambil langkah jangka pendek dan panjang bagi menangani isu banjir yang berlaku di negeri masing-masing.

Sebagai contoh katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengemukakan 14 tindakan termasuk mengenalpasti lokasi 'hotspot' banjir dalam menangani bencana alam itu sekiranya berlaku di kawasan mereka.

"Mereka (DBKL) menggariskan apa langkah jangka pendek dan panjang termasuk faktor dan bukan faktor berlaku bencana itu yang ia memberi kemudahan untuk kita tangani isu banjir ini," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 7:20pm
d