mutakhir

Tiga pelajar dakwa dibuli senior

Oleh Ahmad Hasbi

Nilai: Polis semalam menerima tiga laporan mengenai pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh di daerah ini yang dipercayai dicederakan pelajar senior.

Tiga pelajar berusia 14 tahun itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya sudah mengenalpasti dua pelajar senior berkenaan bagi membantu siasatan kes buli terbabit.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu sama ada terdapat pelajar lain terbabit.

"Siasatan awal mengenalpasti dua pelajar senior yang dipercayai boleh membantu siasatan.

"Siasatan lanjut masih dilakukan khususnya dalam mengenalpasti punca kejadian dan sama ada masih ada pelajar lain yang terbabit.

"Siasatan dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak memanipulasi kejadian ini sehingga boleh menyebabkan kegusaran awam sehingga siasatan dilengkapkan pihak polis.

"Perkembangan lanjut akan dimaklum dari semasa ke semasa," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 8:08pm
d