mutakhir

Pemilihan PKR Cabang Bayan Baru kecoh seketika [METROTV]

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof

Bayan Lepas: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bayan Baru kecoh seketika apabila dua kumpulan penyokong calon Ketua Bayan Baru saling berebut pengundi sehingga menyebabkan pertikaman lidah di Setia Spice Arena, Bayan Baru, di sini, hari ini.

Proses pengundian untuk jawatan Ketua Cabang menyaksikan pertembungan antara Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Perselisihan faham yang berlaku kira-kira lima minit dipercayai dicetuskan penyokong Abdul Halim bagaimanapun pantas dileraikan rakan penyokong masing-masing.

Seorang peraih undi yang terbabit dalam kekecohan ketika ditemui pemberita berkata, seorang lelaki cuba 'mencuri' pengundinya sehingga menyebabkan suasana sedikit tegang dan kecoh.

"Mereka mahu ambil pengundi kita yang baru sampai masuk ke dalam kumpulan mereka. Mana boleh begitu," kata lelaki itu yang tidak mahu namanya didedahkan.

Abdul Halim ketika diminta mengulas insiden itu menyifatkan ia adalah situasi normal untuk meraih undi dan tidak membabitkan kontak fizikal.

"Kita di sini ada pondok panas dalam jarak 200 meter dari tempat mengundi dan saya melihat proses pengundian mengikut peraturan dan ia turut dipantau Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP)," katanya.

Dalam pada itu, Tze Tzin melihat pemilihan hari ini sebagai persaingan persahabatan sebagai meraikan demokrasi dan pihaknya sentiasa berusaha untuk melancarkan proses untuk kemudahan pengundi.

"Mungkin ada beberapa orang muda yang tidak tahu budaya Keadilan tapi tidak mengapa saya sudah mohon Datuk Abdul Halim agar mengawal penyokong beliau, jadi saya fikir ia sepatutnya okay.

"Memang ada peraturan yang ditetapkan dengan JPP membuat lawatan dan mereka bersetuju dengan cara ini," katanya.

Kira-kira 200 pengundi membanjiri Setia Spice Arena setakat jam 12.30 tengah hari dan berdasarkan rekod terdapat 9,983 ahli PKR berdaftar membabitkan kawasan cabang Bayan Baru.

Keputusan bagi kepimpinan cabang akan diumumkan pada 23 Mei ini manakala jawatan Timbalan dan Naib Presiden pada 26 Jun iaitu sehari selepas kongres kebangsaan parti pada 24 dan 25 Jun.

Disiarkan pada: May 16, 2022 @ 1:25pm
d