mutakhir

12,500 anggota bomba siap siaga musim kemarau [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Lebih 12,500 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara bersiap siaga menghadapi kemungkinan kes kebakaran hutan susulan musim kemarau yang dijangka melanda negara bermula pertengahan bulan ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca berdasarkan maklumat disediakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan bekerjasama dengan agensi keselamatan lain.

Selain sumber manusia, beliau berkata, kesiapsiagaan juga membabitkan atur gerak aset ke beberapa kawasan panas yang dikenal pasti di Selangor, Pahang, Perak, Sarawak dan Sabah.

"Kawasan ini selalunya kita sudah mobilisasi aset dan sumber manusia berasaskan informasi yang diterima. Kita pasti akan berlaku perubahan cuaca tidak lama lagi walaupun kerap hujan ketika ini.

"Namun cabaran dihadapi adalah memastikan peralatan digunakan untuk pemadaman bersesuaian selain bekalan air mencukupi.

"Pada masa sama, kita perlu bantuan daripada orang tempatan kerana topografi kawasan tertentu amat mencabar terutama di kawasan bertanah gambut yang memerlukan banyak tenaga manusia," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JBPM 2022 di Kuarters JBPM Cheras di sini, malam ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga perlu memastikan anggota mempunyai cukup rehat dan tidak bekerja untuk jangka masa panjang kerana terdedah kepada kepanasan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran dan pembakaran terbuka di kawasan hutan atau lalang.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan memaklumkan JBPM akan mengadakan Sambutan Hari Anggota Bomba yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kepala Batas, Pulau Pinang, pada 22 Mei depan.

Katanya, sambutan bertemakan 'Bomba Frontliners Keluarga Malaysia' akan menyediakan pelbagai aktiviti termasuk pameran dan perbarisan kontinjen kebombaan.

Disiarkan pada: May 17, 2022 @ 12:12am
d