mutakhir

5 beranak diselamatkan dari kereta dihanyut banjir

Oleh Ahmad Hasbi

Kuala Pilah: Hujan lebat yang menyebabkan banjir di negeri ini petang semalam turut menyebabkan sebuah kereta yang dinaiki lima beranak termasuk seorang bayi dihanyutkan air dekat Kampung Dingkir Inas, di sini.

Bagaimanapun, pada kejadian 5.30 petang itu, semua mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, difahamkan, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza itu cuba melalui jalan yang dinaiki air di lokasi berkenaan.

"Bomba menerima panggilan jam 5.36 petang dan sepasukan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah dengan dua jentera bergegas ke lokasi sebelum tiba, jam 5.45 petang.

"Kami mendapati sebuah MPV berwarna biru tersangkut di kawasan semak selepas dipercayai dibawa arus dan maklumat mengatakan terdapat lima mangsa terperangkap di dalamnya," katanya ketika dihubungi.

Dia berkata, pihaknya kemudian melakukan operasi mengeluarkan mangsa dengan bantuan orang sebelum kelima-lima mangsa berjaya diselamatkan.

"Daripada maklumat yang kami terima, pemandu MPV berkenaan cuba menyeberangi jalan yang dinaiki air, namun dibawa arus deras.

"Mangsa terdiri daripada dua wanita dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi. Semuanya tidak mengalami kecederaan, namun dibawa ke penempatan sementara menggunakan kenderaan bomba," katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2022 @ 8:30am
d