mutakhir

Banjir di beberapa kawasan di Kuala Pilah

Oleh Ahmad Hasbi

Kuala Pilah: Meskipun hujan lebat sudah berhenti kira-kira 6 petang semalam, namun beberapa kawasan di Kuala Pilah terus dinaiki air sehingga ke tengah malam tadi, menyebabkan lebih 100 mangsa terpaksa dipindahkan.

Difahamkan, kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada aliran Sungai Ulu Inas yang 'bertembung' dengan Sungai Batang Jelai yang mempunyai kapasiti air tinggi ekoran hujan lebat.

Pengarah Angakatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka tengah malam tadi.

"Antara kawasan terbabit dengan kejadian banjir lewat malam tadi adalah Kampung Kerapi, Kampung Orang Asli Charik, Kampung Orang Asli Kelapi dan Kampung Ulu Inas.

"Seramai 103 mangsa daripda 40 keluarga dipindahkan ke dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Johol dan Dewan Desa Dangi, di sini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bacaan paras air sungai di Sungai Muar dekat Kampung Berembang, di sini, sehingga 7 pagi tadi masih menunjukkan melebihi paras bahaya iaitu 63.32 meter.

"Hasil maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan, kejadian banjir tengah malam tadi berlaku kerana berlaku pertembungan dua sungai yang mempunyai kapasiti air yang tinggi.

"Keadaan aliran Sungai Batang Jelai yang tinggi menyebabkan kesan backflow kepada aliran air Sungai Ulu Inas sehingga menyebabkan limpahan kepada kawasan rendah dan berhampiran sungai," katanya.

Mengulas lanjut, beberapa kawasan lain yang turut mengalami banjir kilat adalah Kampung Ismail, Taman Angsamas, Kampung Sega Hulu, Kampung Sungai Mahang, Kampung Sega Tengah dan Kampung Kuala Sawah di Seremban.

"Di Rembau berlaku banjir kilat di Kampung Orang Asli Paabai, Miku, manakala di Port Dickson, di sebuah pusat pengajian Islam di Pengkalan Kempas, Linggi," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan kejadian kepala air di Ulu Bendul, semalam, beliau berkata, pihak tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu dan sehingga kini tiada sebarang laporan kecemasan daripada mana-mana mangsa.

"Kawasan rekreasi Ulu Bendul memang sering berlaku kejadian kepala air dan saya tidak pasti gambar yang ditularkan mengenai kejadian itu adalah yang terbaru atau gambar lama," katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2022 @ 9:31am
d