mutakhir

AKSB nafi tuduhan telaga jejari gagal

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan tuduhan bahawa telaga jejari gagal.

AKSB menerusi satu kenyataan memaklumkan tuduhan terhadap telaga jejari berkali-kali gagal adalah tidak benar kerana telaga jejari untuk Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong berjaya beroperasi pada kadar reka bentuk 17 juta liter sehari (JLH).

"Telaga jejari LRA Wakaf Bharu dan LRA Kampung Chap masing-masing beroperasi pada kadar 24 JLH dan 11 JLH. Bagi meningkatkan pengeluaran, air mentah tambahan diperoleh dari telaga tiub dan bukannya air sungai sebagaimana didakwa.

"Sementara itu, terdapat dua telaga jejari untuk LRA Kampung Telok dan berjaya beroperasi pada kadar reka bentuk 32 JLH dan kapasitinya adalah 30 JLH, tetapi pada masa ini hanya berupaya menghasilkan air terawat yang menepati piawai Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak 10 JLH sahaja," katanya.

Menurutnya, LRA Kampung Chap dan LRA Meranti Baru menggunakan sistem rawatan air Chemiles, manakala LRA Taman Telok Mesira adalah sistem NR Cavitation yang direka bentuk sekumpulan saintis tempatan yang berpangkalan di Pengkalan Chepa serta dikategorikan sebagai projek perintis oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

"Pembangunan LRA Taman Telok Mesira dan LRA Meranti Baru dibuat secara rundingan terus oleh AKSB yang diluluskan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Kelantan. Sistem NR Cavitation dan sistem Chemiles adalah hak mutlak syarikat dilantik," katanya.

Kenyataan itu menafikan tuduhan ke atas cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Labok, Machang sebagai hendak habiskan duit dan tidak boleh menyelesaikan masalah air juga tidak benar kerana TAPS dibina untuk mengumpul air sungai sebagai sumber air mentah untuk LRA serta tebatan banjir.

"Dengan adanya TAPS, perkhidmatan bekalan air terawat oleh AKSB akan dapat ditingkatkan dari aspek jaminan kuantiti dan tekanan air serta akan meningkatkan liputan bekalan air terawat di Kelantan.

"Tuduhan sistem rawatan air Chemiles di LRA Kampung Chap gagal adalah tidak benar kerana loji ini beroperasi sejak 2015 dan kerosakan mula dikesan pada 2020 iaitu selepas lebih lima tahun beroperasi sekali gus perlu diselenggara," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa menerusi satu rakaman video mendakwa sistem telaga jejari berkali-kali gagal berikutan kuantiti air tidak cukup.

Disiarkan pada: May 17, 2022 @ 12:14pm
d