mutakhir

Tajuddin dilantik Duta Besar Malaysia ke Indonesia

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Pengesahan pelantikannya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu dibuatnya sendiri, seperti dilapor sebuah portal berita hari ini.

Sementara itu, jurucakap di Pejabat Perdana Menteri turut mengesahkan Tajuddin mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya hari ini, difahamkan berkaitan urusan pelantikan itu.

"Ya..ada," katanya ringkas tanpa memperincikan lebih lanjut urusan perjumpaan antara kedua-dua pemimpin itu.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan, Tajuddin dijadual melaporkan diri sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia akhir bulan ini.

Tajuddin, 74, sebelum ini pernah menyertai delegasi rasmi ketika lawatan kerja Perdana Menteri ke Indonesia bertemu Presiden Joko Widodo pada November lalu.

Jawatan Duta Besar Malaysia di Indonesia kini kosong dengan yang terakhir disandang Datuk Zainal Abidin Bakar.

Ketika ini, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq mengetuai anggota kedutaan negara di sana.

Disiarkan pada: May 17, 2022 @ 5:59pm
d