mutakhir

Meriahkan MRTM Aidilfitri 2022

Oleh Hanis Aliaa Hidzir

SELEPAS dua tahun tidak diadakan akibat pandemik Covid-19, kali ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kembali menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022.

Penganjuran MRTM Aidilfitri 2022 bertujuan menyemarakkan semula industri pelancongan, kebudayaan dan kesenian negara dalam persekitaran norma baharu.

Selain itu, MRTM Aidilfitri 2022 juga diadakan bagi mengetengahkan tradisi sambutan Aidilfitri sekali gus menyemarakkan pelancongan budaya di Malaysia.

Program yang bakal berlangsung di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu, Terengganu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Mei 2022, jam 9 malam.

Pelbagai pengisian menarik menanti Keluarga Malaysia sepanjang MRTM Aidilfitri 2022 berlangsung pada 19 hingga 21 Mei 2022.

Pelbagai acara menarik

Keluarga Malaysia dijemput menyertai program Rewang Raya bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, di Masjid Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu, pada 20 Mei 2022 jam 9 pagi.

Selain kenduri rakyat dan persembahan kesenian, pengunjung juga boleh menyaksikan pelbagai pameran serta demonstrasi daripada pihak jabatan serta agensi MOTAC.

Antara pameran dan demonstrasi menarik di MRTM Aidilfitri 2022 termasuk pameran koleksi khas Aidilfitri dari 1915, demonstrasi makanan warisan dan bengkel masakan warisan yang boleh pengunjung terokai bersama seisi keluarga.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghadiri ceramah agama yang bakal diadakan pada 19 Mei 2022 jam 9 malam.

Ceramah bertajuk "Syawal Disambut Dengan Penuh Kesyukuran dan Kegembiraan" ini bakal menampilkan tiga panel iaitu Pengarah i-MiTS Ustaz Kamaruzaman Abdullah, mantan Mufti Terengganu Dato Zulkifli Muda serta Timbalan Dekan (Jaringan & Alumni), Fakulti Pengajian Islam, UKM Prof. Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Sementara itu, pelaksanaan MRTM Aidilfitri 2022 ini juga dijadikan penanda aras bagi pelaksanaan program MOTAC yang seterusnya melalui kaedah norma baharu.

Justeru, orang awam yang hadir perlu menjaga kebersihan diri dan mematuhi piawaian operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup separuh muka dan mulut, kerap mencuci tangan dan menjaga penjarakkan fizikal.

Program sambutan Aidilfitri ini diharap dapat meningkatkan semangat gotong royong, bersatu hati, toleransi selain menyemai nilai-nilai murni dan budaya nilai tinggi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum serta budaya untuk bersifat lebih terbuka dan saling menghormati.

Ayuh kunjungi MRTM Aidilfitri 2022 yang bakal bermula 19 hingga 21 Mei 2022 di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu, Terengganu.

Keluarga Malaysia di sekitar negeri pantai timur, khususnya Terengganu dijemput untuk memeriahkan program yang bakal dianjurkan ini.

Untuk maklumat lanjut, layari www.motac.gov.my.

Disiarkan pada: May 18, 2022 @ 4:47pm
d