mutakhir

Warga emas maut, kereta langgar tembok plaza tol

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Rawang: Lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya merempuh tembok penghadang berhampiran pondok di Plaza Tol Taman Rimba Templer, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.44 pagi tadi.

"Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun yang melanggar tembok penghadang berhampiran pondok di plaza tol berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2022 @ 3:19pm
d