mutakhir

Rebut 39,000 peluang pekerjaan di Langkawi [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Pendang: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang berusaha mengisi kekurangan tenaga kerja industri pelancongan dan perhotelan di Langkawi yang memerlukan sehingga 39,000 pekerja.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya kini sedang mengadakan temu duga di seluruh negara yang dilakukan jawatankuasa khas bersama pemain industri di pulau peranginan itu sejak awal bulan lalu.

"Temuduga ini tertumpu kepada semua pencari kerja termasuk di Sabah dan Sarawak bagi mengisi kekosongan dalam sektor pelancongan di Langkawi agar industri tidak lagi perlu bergantung kepada pekerja asing.

"Kita akan pastikan agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengadakan temu duga ini secara lebih kerap dan pantas untuk ambil anak muda terbabit," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pendang di sini, hari ini.

Awang berkata, pemain industri dilihat tidak mempunyai masalah membayar gaji minimum RM1,500 sebulan, malah mereka mempunyai keupayaan membayar lebih berikutan sektor pelancongan di Langkawi beransur pulih ketika ini.

Katanya, bagi langkah jangka panjang pula, pihaknya akan menumpukan perhatian dalam latihan kemahiran sektor pelancongan dan perhotelan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

"Buat masa ini, tiada keperluan untuk pekerja asing isi sektor pelancongan dan perhotelan.

"Dalam tinjauan di hotel lima bintang di Langkawi baru-baru ini, kita dapati hanya ada seorang sahaja pekerja asing, sementara 99 peratus lain adalah pekerja tempatan.

"Tidak timbul isu pekerja tempatan tidak mahu bekerja dalam sektor berkenaan. Saya harap pekerja tempatan ambil kesempatan bekerja dalam bidang pelancongan kerana ini bukan pekerjaan kategori 3D (kotor, bahaya dan sukar), jadi ia sesuai dengan kehendak masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, Awang berkata, berdasarkan rekod Perkeso, terdapat 2,164 majikan aktif yang memerlukan sehingga 39,000 pekerja dalam sektor pelancongan dan perhotelan.

Disiarkan pada: May 19, 2022 @ 6:19pm
d