mutakhir

Sorok jeruk belakang kedai haiwan peliharaan

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Tiga lelaki warga Indonesia yang rancak menjual jeruk dan buah-buahan di persimpangan lampu isyarat laluan utama sekitar Bandar Baru Uda, di sini, ditahan menerusi Ops Bersepadu Khas Penjaja Jalanan, hari ini.

Lelaki berusia antara 26 hingga 40 tahun itu ditahan pada 12.15 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, operasi dijalankan hasil aduan orang awam.

"Siasatan awal mendapati, mereka bukan sahaja menyimpan barang jualan di dalam longkang di kawasan berhampiran.

"Malah, ia turut disimpan dan disorok di belakang kedai haiwan peliharaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 12 kotak putih yang mengandungi 50 balang jeruk mangga dan jambu dirampas dan disita Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

"Ketiga-tiga lelaki yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen dan Kaedah 10A (1) serta Kaedah 10A (2) LN 166/59, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (166/59)," katanya.

Kumarasan berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya menghentikan aktiviti menjaja di jalan awam demi mengelak kejadian tidak diingini terutama kemalangan maut.

Menurutnya, kegiatan berkenaan juga mengganggu kelancaran trafik di persimpangan lampu isyarat.

"Persepsi dan rasa simpati terhadap golongan itu perlu difikirkan kerana jelas ada pihak mengambil kesempatan menggajikan warga asing dan turut mengabaikan aspek kebersihan.

"Mereka hanya mensasar bagi mengaut keuntungan dengan mudah dan cepat," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2022 @ 10:31pm
d