mutakhir

Peruntukan RM1juta bagi PROSTEM di sekolah Pulau Pinang [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperuntukan sebanyak RM1juta bagi Program Rural Outreach STEM (PROSTEM) di sekolah di Pulau Pinang.

Peruntukan itu memberi manfaat kepada sebanyak 71 buah sekolah, membabitkan seramai 1,245 pelajar dan 50 guru STEM di bawah kawasan operasi PERDA di Daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Barat Daya.

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah berkata, Program Rural Outreach STEM itu dilaksanakan secara bersepadu menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

Katanya, ia adalah bagi menggalakkan minat pelajar luar bandar daripada kategori B40 terhadap subjek STEM iaitu Sains, Matematik dan Sains Tulen.

"Berdasarkan data, pelajar yang terbabit di bawah program kecemerlangan akademik PERDA sejak 2017 sehingga 2021 menunjukkan bilangan yang rendah iaitu sebanyak 30 peratus bagi aliran STEM di peringkat menengah.

"STEM adalah bidang penting dalam mendepani revolusi IR 4.0 yang masih belum menerima sokongan mencukupi daripada agensi kerajaan selain daripada Kementerian Pendidikan.

"Sebilangan kecil sekolah di kawasan bandar atau luar bandar yang terpilih, menerima galakan STEM menerusi sumbangan set robotik daripada NGO atau industri dan setakat ini, hanya segelintir sekolah luar bandar menerimanya," katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, Hasbi ditemui pada Majlis Pelancaran Program Rural Outreach STEM (PROSTEM) di Sekolah Kebangsaan Seri Bayu Teluk Kumbar di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi PERDA, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, JPN Pulau Pinang, Mohamad Said Ibrahim.

Program yang dilaksanakan menerusi inisiatif PROSTEM itu meliputi insentif set robotik Logo Education, Robotic Workshop, Coding Kidz@PERDATECH, Little Scientist, Mathzania serta Program Training on Trainers kepada guru STEM di Pulau Pinang.

"KPLB dan PERDA berharap dengan inisiatif ini dapat mendorong pelajar luar bandar terutama daripada keluarga B40 bagi meminati STEM selain mampu menyediakan pelajar terutama kumpulan sasar sekolah rendah Tahun 4 sehingga 6 dan pelajar sekolah menengah tingkatan 1 sehingga 3 dalam mendepani landskap perubahan teknologi negara menerusi Revolusi IR 4.0.

"Justeru, kita akan pastikan dunia maya sampai ke luar bandar dengan rangkaian yang diperluaskan walaupun mungkin ia akan ambil sedikit masa. STEM adalah masa depan dan kita tidak mahu pelajar ketinggalan," kata Hasbi lagi.

Disiarkan pada: May 24, 2022 @ 3:22pm
d