mutakhir

Bayar RM 1, dapat kereta Kancil [METROTV]

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Hanya semurah RM1. Itu harga dikenakan kepada seorang ibu tunggal bagi pembelian sebuah kereta terpakai.

Nilai itu ditetapkan pengusaha bengkel kenderaan di Durian Tunggal di sini, Shikh Muhammad Makhdad Haron, 49, selepas berasa simpati terhadap kepayahan hidup dialami Jamilah Mazaki , 70.

Difahamkan 'hadiah' kereta model Perodua Kancil itu bakal memudahkan urusan harian warga emas terbabit yang juga pembuat rempeyek.

Shikh Muhammad Makhdad Haron, 49 berkata, pada awalnya Jamilah datang bertemunya sambil memaklumkan mahu membeli kereta, namun tidak mempunyai wang mencukupi.

Menurutnya, wanita itu memaklumkan sanggup membayar ansuran pembelian kereta secara bulanan.

"Bagaimanapun sebagai warga emas, sudah pasti tiada institusi kewangan yang bersedia memberi pinjaman kepada wanita terbabit.

"Simpati dengan keadaannya yang terpaksa mengguna perkhidmatan e-hailing serta menumpang orang ketika membeli keperluan bagi membuat rempeyek, saya berusaha mencari sebuah kenderaan terpakai.

"Akhirnya saya menemui seseorang pemilik Perodua Kancil yang tersadai dan sudi menginfak kenderaan itu untuk kegunaan Jamilah. Namun, pemilik terbabit tidak mahu menonjolkan dirinya.

"Saya membawa kereta berkenaan pulang ke bengkel sebelum memperbaiki keadaannya sehingga pulih dan selamat untuk digunakan semula. Alhamdulillah, hasil sumbangan rakan bengkel dan komuniti termasuk bagi menggantikan peralatan rosak, kerja baik pulih, insurans dan urusan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) amat dihargai dalam merealisasikan impian warga emas ini," katanya.

Dia berkata, harga RM1 hanya dikenakan kepada wanita berkenaan sebagai tanda kasih sayang dalam usaha membantu individu yang memerlukan.

Katanya, walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk hampir tertangguh beberapa bulan, akhirnya kereta itu dapat diserahkan kepada Jamilah.

Sementara itu, Jamilah melahirkan rasa terharu dengan infak kereta yang diterima itu kerana memudahkan urusan hariannya.

Beliau berkata, dia tidak menduga memperoleh kereta berkenaan dengan hanya membayar RM1 sahaja yang tidak pernah terfikir olehnya sebelum ini.

"Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa semua pihak dan setiap individu yang membantu memenuhi impian saya ini," katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2022 @ 3:03pm
d