mutakhir

Buruh didakwa miliki pistol tiruan [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Buruh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa kebenaran yang sah pada Februari lalu di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Azhan Mustaffa, 38, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa kebenaran yang sah atau dibenarkan di kawasan semak berhampiran rumah di Kampung Terap Banggu, di sini, pada 1.15 tengah hari 23 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Aisyah Abdul Manah, manakala tertuduh diwakili peguam Intan Nor Nadhirah Ismail dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, Siti Aisyah menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada tertuduh dan memohon satu tarikh untuk serahan dokumen.

Intan Nor Nadhirah memohon ikat jamin minimum kerana tertuduh adalah bapa tunggal kepada tiga anak berusia tujuh hingga 10 tahun.

Katanya, tertuduh juga adalah orang kurang upaya (OKU) fizikal kerana tangannya pernah terbakar.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,800 dan menetapkan 20 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula.

Disiarkan pada: May 29, 2022 @ 3:10pm
d