mutakhir

Dah macam tarian bogel `Las Vegas'

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Polis menahan seorang `instafamous' kerana dipercayai terbabit dalam kejadian tular pondan menari separuh bogel serta pembakaran bunga api sehingga mengganggu ketenteraman awam di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan laporan polis oleh badan pengurusan lokasi itu.

"Penganjur (suspek) yang dikenali dengan nama panggilan Cik Lala adalah individu yang menyewa unit berkenaan dengan kos RM4,000 untuk Majlis Hari Raya dengan jemputan kira-kira 50 orang kenalannya Jumaat lalu.

"Siasatan mendapati, tarian oleh penari pondan separuh bogel dan pembakaran bunga api itu adalah dianjurkan oleh penganjur sendiri.

"Penganjur bagi majlis ini ditangkap semalam dan direman sehingga 31 Mei untuk siasatan lanjut.

"Polis juga sedang dalam tindakan untuk menjalankan beberapa lagi tangkapan, sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak" katanya.

Mohd Iqbal berkata, pihak JMB membuat laporan polis pada 28 Mei lalu selepas mendapat mesej WhatsApp mengenai aktiviti tarian separuh bogel oleh penari pondan dan pembakaran bunga api.

"Menurut pihak berkenaan, perlakuan itu boleh menjatuhkan imej tempat itu sebagai salah satu tarikan pelancong di Selangor.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 27 Mei sekitar jam 8 hingga 11.30 malam.

"Siasatan mendapati, sekumpulan lelaki pondan membuat tarian separuh bogel diikuti dengan muzik yang kuat serta terdapat aktiviti pembakaran bunga api di kawasan awam berhampiran rumah penduduk," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2022 @ 3:12pm
d