mutakhir

Chulio terima pingat 'Jasamu Dikenang'

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Batu Gajah: Anjing baka German Shepherd dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia menerima pingat 'Jasamu Dikenang' susulan kejayaan mengesan mayat seorang warga emas yang hilang pada 11 Mei lalu.

Anjing bernama Chulio dari K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu menerima pingat berkenaan daripada Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif di majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di sini, pagi hari ini.

Di majlis itu, Mohamad Roy menyampaikan pingat berkenaan kepada pengendali anjing berkenaan, Koperal Tony Matius Farang yang kemudiannya dikalungkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah Superintendan Tan Boon Hooi ke leher Chulio.

Tony Matius turut menerima sijil penghargaan daripada Mohamad Roy.

Sementara itu, Tony Matius berkata, anjing berkenaan diperoleh dari United Kingdom (UK) yang berusia lima tahun itu sudah berkhidmat selama lima tahun.

"Chulio sudah mengikuti lebih daripada 50 operasi dan ini adalah kejayaan kedua terbesar selepas turut berjaya mengesan mangsa yang tertimbus bawah tanah di Cameron Highlands pada April lalu.

"Chulio yang diberi latihan setiap hari sememangnya mempunyai kelebihan dan kepakaran khusus untuk mengesan mayat," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Mohamad Roy berkata, Chulio diberi pingat atas kejayaannya menemukan mangsa selepas hari ketiga mangsa warga emas itu dilaporkan hilang.

Menurutnya, warga emas yang hilang di kawasan berhampiran ladang kelapa sawit di Tronoh berkenaan berjaya ditemukan lemas di sebuah paya berhampiran ladang kelapa sawit.

"Kalau hendak diikutkan kawasan berkenaan memang susah dan jarang dilalui dan mangsa ditemukan di celah tumbuhan liar tebu gajah yang tumbuh rapat di kawasan berpaya.

"Berpandukan bau pakaian dan mayat, operasi dimulakan pada 10 pagi dan Chulio berjaya menemukan mayat dalam kira-kira tempoh setengah jam sahaja," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2022 @ 11:27am
d