mutakhir

Polis buru pelajar kolej rogol remaja bawah umur

Oleh Aizat Sharif

Padang Besar: Polis sedang mengesan seorang pelajar kolej swasta kerana disyaki terbabit dengan rogol gadis di bawah usia di Beseri di sini, pada Oktober tahun lalu hingga menyebabkan remaja berusia 16 tahun itu mengandung dan melahirkan anak di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat pada 8.45 pagi daripada Pegawai Perubatan HTF berhubung seorang remaja berusia 16 tahun yang juga pelajar di sebuah sekolah menengah melahirkan anak luar nikah di hospital itu.

"Susulan daripada laporan itu, polis kemudian ke HTF untuk bertemu dengan remaja berkenaan dan merakamkan percakapan mangsa mengenai kejadian itu sebelum dia menyatakan dia selamat melahirkan bayi pada Sabtu lalu.

"Hasil siasatan lanjut berkaitan kes ini, mangsa mendakwa diperkosa teman lelakinya berusia 25 tahun yang juga seorang pelajar sebuah kolej swasta di Shah Alam (Selangor) di sebuah bilik di Padang Besar pada Oktober tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa mendakwa diperkosa suspek di sebuah bilik di Padang Besar pada Oktober tahun lalu.

"Mangsa kemudiannya mendapatkan pemeriksaan di sebuah klinik swasta dan mendapati dirinya sudah hamil tujuh minggu.

"Bagaimanapun, dia tidak memaklumkan kepada ahli keluarga atau sesiapa sehinggalah bayi itu dilahirkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek terbabit dan tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis di bawah usia yang boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 31, 2022 @ 2:40pm
d