mutakhir

Bahana serah kad ATM pada orang lain, denda RM3,000 [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: "Jangan pinjamkan kad ATM (kad mesin juruwang automatik), lesen atau kad pengenalan kepada sesiapa pun selepas ini kerana awak yang didakwa di mahkamah jika timbul masalah. Kalau mahkamah jatuhkan hukuman penjara, siapa yang nak bagi anak-anak makan?," ujar Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, tadi.

Beliau berkata demikian ketika mendenda seorang buruh, Arman Jaiman, 39, sebanyak RM3,000 atas kesalahan menyembunyikan wang individu lain di dalam akaun banknya, dua tahun lalu.

Mohamad Izwan juga menetapkan bapa kepada dua anak itu dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Arman didapati menyembunyikan wang RM9,000 milik Zakeri Mamat, 53, di dalam akaun bank miliknya, antara 3 hingga 5 Jun 2020.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

Mengikut fakta kes, pengadu adalah seorang juruteknik yang berminat menyertai pakej pelaburan RM800 selepas tertarik melihat iklan pelaburan di Facebook dan dijanjikan pulangan RM10,800 dalam masa 24 jam.

Bermula 27 Mei hingga 5 Jun 2020, pengadu membuat 14 kali transaksi kemasukan wang berperingkat ke tiga akaun bank berlainan atas nama Arman Jaiman, Muhamad Azrul dan Abdul Aziz berjumlah keseluruhan RM39,410.

Bagaimanapun pengadu masih tidak menerima pulangan dijanjikan selepas melangsaikan pembayaran sebelum membuat laporan polis kerana mengesyaki ditipu.

Hasil siasatan polis, Pegawai bank mengesahkan akaun bank atas nama tertuduh dengan tiga transaksi kemasukan wang berjumlah RM9,000 dibuat pengadu.

Menerusi rakaman percakapan, tertuduh mengaku akaun bank berkenaan adalah miliknya, namun kad ATM diserahkan kepada seorang individu bagi mendapatkan wang.

Polis mendapati tertuduh terbabit secara langsung dengan kes itu dan gagal mengemukakan maklumat terperinci individu yang diserahkan kad ATM miliknya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Amritpal Singh.

Disiarkan pada: May 31, 2022 @ 4:23pm
d