mutakhir

1 tan minyak masak cuba diseludup ke negara jiran

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar satu tan minyak masak paket di kawasan perairan timur laut Pulau Kulapuan, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, bot peronda APMM mengesan bot pam dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.7 batu nautika di kawasan berkenaan sebelum melakukan pintasan.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, tekong bot bagaimanapun berjaya melarikan diri ke kawasan daratan.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan lebih satu tan minyak masak paket disyaki cuba diseludup ke negara jiran," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Norrimi berkata, usaha mengesan pemilik dan dalang di sebalik kes penyeludupan barang kawalan berkenaan sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi," katanya.

Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan berjumlah RM8,000.

Disiarkan pada: June 1, 2022 @ 10:07pm
d