mutakhir

Penyelewengan pengurusan Covid-19, menteri mungkin dipanggil

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 25 kertas siasatan berhubung isu rasuah dan penyelewengan perolehan berkaitan pengurusan Covid-19 ketika tempoh darurat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawainya akan memanggil beberapa individu tertentu dalam tempoh terdekat termasuklah kemungkinan kenamaan bertaraf menteri.

"Kita siasat pelbagai isu perolehan berkaitan Covid-19, setiap satu kes kertas siasatan berbeza antaranya pembekalan pelitup muka.

"Kita tengok siapa yang terbabit akan dipanggil bantu siasatan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemantapan Wartawan bersama SPRM di sini, hari ini.

Azam berkata, setakat ini pihaknya juga sedang menilai agensi-agensi tertentu yang mempunyai kaitan dengan pengurusan Covid-19 dalam tempoh berkenaan.

Pada 24 Mei lalu, media laporkan siasatan yang sedang dilakukan SPRM termasuk aktiviti rasuah dalam perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa mengalihkan bantuan dan pakej rangsangan serta penipuan berkaitan peralatan perubatan.

Penipuan berkaitan perubatan merangkumi pelitup muka, sarung tangan dan lain-lain yang didapati palsu atau berkualiti rendah.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menegaskan beliau sedia memberikan kerjasama kepada SPRM jika diperlukan.

Disiarkan pada: June 2, 2022 @ 1:02pm
d