mutakhir

Kumpulan remaja curi motosikal [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini yang aktif sejak tiga bulan lalu berakhir dengan penangkapan lima remaja lelaki digelar Geng Sedar.

Remaja berusia antara 17 hingga 18 tahun itu diberkas dalam tangkapan berasingan di tiga rumah di Kampung Sedar di sini pada malam tadi dan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pada malam Selasa lalu pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan motosikal jenis Honda EX5 di Kampung Paloh, Palekbang.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, menahan seorang ahli kumpulan itu berusia 18 tahun di Kampung Sedar pada 11 malam tadi bersama motosikal dalam keadaan sudah dileraikan.

"Susulan itu, empat lagi remaja lelaki ditahan juga di kampung sama dan kesemua mereka dikenali sebagai Geng Sedar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Amran berkata, tangkapan itu membawa kepada lokasi penyimpanan tiga motosikal curi yang disembunyikan dalam rumah berasingan bersama komponen kenderaan itu.

Menurutnya, turut ditemui tiga rangka motosikal yang dibuang dalam tali air di kampung yang sama dipercayai untuk tujuan pelupusan bukti dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM30,000.

"Hasil siasatan mendapati semua barang kes yang dirampas mempunyai kaitan dengan kes kehilangan motosikal sebelum ini dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan pemilik serta rangkaian sindiket yang terbabit.

"Daripada soal siasat dibuat, komponen yang dileraikan itu adalah untuk kegunaan sendiri dan ada juga dijual kepada pembeli lain pada harga yang lebih murah berbanding pasaran.

"Ujian saringan yang dibuat mendapati semua remaja itu negatif dadah mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 5 Jun untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2022 @ 6:21pm
d