mutakhir

Pemandu cetuskan kemalangan lima kenderaan kena reman [METROTV]

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Memandu di bawah pengaruh dadah dipercayai punca berlakunya kemalangan babitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 243.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, semalam.

Kemalangan pada 10.40 pagi itu tular di media sosial selepas video mengenainya dimuat naik yang turut memperlihatkan tayar milik sebuah daripada kenderaan yang terbabit tercabut dan 'terbang' ke laluan bertentangan.

Bagaimanapun, tiada mangsa cedera dengan kenderaan terlibat adalah dua Perodua Myvi, Toyota Avanza, Proton Saga dan Proton Persona.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya sudah menahan pemandu Perodua Myvi berusia 28 tahun yang dipercayai menyebabkan kemalangan itu.

Katanya, lelaki itu dipercayai di bawah pengaruh dadah direman empat hari hingga 9 Jun untuk siasatan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Lelaki itu yang juga penganggur direman bermula hari ini untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Myvi dipandu suspek dari arah Seremban hilang kawalan dan melanggar kenderaan di hadapannya iaitu Toyota Avanza yang dipandu lelaki 44 tahun.

Katanya, pelanggaran menyebabkan Toyota Avanza itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke lorong kiri dan melanggar pula Proton Saga dipandu wanita 40 tahun dan Proton Persona dipandu lelaki 35 tahun.

"Pelanggaran pertama antara Perodua Myvi dan Toyota Avanza (MPV) telah menyebabkan tayar bahagian belakang kiri MPV itu tercabut lalu terpelanting masuk ke laluan bertentangan dan terkena Perodua Myvi yang dipandu lelaki 32 tahun.

"Kesemua mangsa terbabit dalam kemalangan tidak mengalami apa-apa kecederaan. Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2022 @ 3:01pm
d