mutakhir

HFMD di Pulau Pinang meningkat 20 kali ganda

Oleh Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Jumlah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang terus meningkat dengan kumulatif setakat Minggu Epid (ME) 21/2022 adalah 3,012 kes berbanding hanya 144 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata, statistik itu menunjukkan berlaku peningkatan kes HFMD sebanyak 20 kali ganda.

Katanya, jumlah kluster juga meningkat sebanyak 14 kali ganda iaitu 102 kluster berbanding hanya tujuh yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu.

"Mengikut laporan yang diterima kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun iaitu sebanyak 2,744 kumpulan usia tujuh hingga 12 tahun iaitu 229 kes ( 7.5 peratus).

"Selebihnya kumpulan berusia lebih 12 tahun iaitu 39 kes (1.4 peratus)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, daerah Barat Daya merekodkan kes tertinggi iaitu 774 diikuti Seberang Perai Utara iaitu 632 kes, Seberang Perai Tengah (619 kes), Timur Laut (596 kes) dan Seberang Perai Selatan merekodkan sebanyak 391 kes.

Bulan lalu, media tempatan melaporkan hanya 959 kes HFMD di Pulau Pinang sejak Januari hingga 7 Mei lalu berbanding 102 kes dalam tempoh yang sama pada 2021 dengan terdapat 54 kluster.

Norlela turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko dijangkiti seperti basuh tangan dengan sabun dan mengekalkan kebersihan di rumah.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan ibu bapa membawa anak ke klinik atau hospital terdekat jika terdapat gejala jangkitan, selain dinasihatkan tidak membawa anak bergejala ke tempat awam.

Disiarkan pada: June 6, 2022 @ 6:17pm
d