mutakhir

MAIWP serah dana RM205,000 bantu penuntut asnaf

Oleh Mohamad Ashyiq Haqimi

Kuala Lumpur: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima sumbangan dana sebanyak RM205,000 dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membiayai program Skim Prihatin Anak Wilayah Persekutuan (SPAW).

Naib Canselor UPNM, Datuk Hasagaya Abdullah berkata, program SPAW dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf UPNM dan MAIWP untuk memberikan bantuan pendidikan kepada penuntut Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang belajar di UPNM.

"Dana ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan kemaslahatan penuntut asnaf terus dipelihara sepanjang tempoh pengajian di UPNM.

"Dana ini juga akan digunakan bagi kegunaan perbelanjaan penuntut asnaf seperti bantuan yuran pengajian, sara hidup, peralatan pendidikan, bantuan kecemasan dan bantuan pengangkutan," katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim.

Sementara, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, MAIWP sentiasa bergerak untuk mengenal pasti penuntut asnaf yang boleh berjaya tetapi tidak mempunyai kemudahan yang cukup ketika melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

"Apabila kami dapat mengenal pasti terdapat sekumpulan penuntut asnaf di UPNM, kami membuat keputusan untuk membantu mereka.

"Kami sentiasa terbuka untuk meneruskan program sebegini di masa akan datang bersama pihak UPNM," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2022 @ 6:12pm
d