mutakhir

Impian peroleh gaji lumayan jadi mimpi ngeri [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Semuanya bertukar mimpi ngeri buat seorang lelaki apabila hajatnya untuk memperoleh gaji lumayan dengan bekerja di luar negara menjadi sebaliknya.

Dia terperangkap dalam sindiket penipuan di Myanmar dan terpaksa pula menanggung derita akibat patah kaki, patah tulang rusuk serta cedera di kepala.

Kecederaan itu akibat ditolak dari balkoni tingkat tiga sebuah penempatan di Myawaddy, Myanmar pada April lalu.

Lelaki yang mahu dikenali Cheah, 19, berkata, episod deritanya bermula selepas melihat iklan kerja kosong yang menawarkan gaji RM4,000 sebagai pelayan di pusat karaoke di Bangkok, Thailand.

Katanya, saya tertarik kerana gajinya lebih tinggi berbanding pekerjaan dilakukan ketika itu sebagai pembantu kedai makan yang bergaji RM1,800.

"Tanpa memaklumkan kepada ibu bapa, saya memutuskan untuk bekerja di sana dan dijemput individu mendakwa ejen pekerjaan dengan menaiki kenderaan mewah dari Melaka ke Sungai Golok, Kelantan pada Mac lalu.

"Bagaimanapun, saya mula curiga apabila perjalanan dari Sungai Golok ke Bangkok menggunakan laluan tikus dan dimaklumkan perlu bekerja dengan sindiket penipuan," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini yang dikendalikan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.

Cheah yang berasal dari Taman Merdeka, Melaka berkata, selama tiga hari berada di Bangkok, dia dihasut untuk bekerja bagi pelbagai kegiatan penipuan termasuk 'Love Scam' yang menyasarkan mangsa dari seluruh dunia termasuk Taiwan serta Amerika Syarikat.

"Saya kemudian dipindahkan ke sebuah penempatan di Myawaddy, Myanmar menggunakan laluan tikus. Di sana, saya lihat ada ramai individu tempatan (warga Malaysia) bekerja dengan sindiket terbabit," katanya.

Katanya, dia sering dipukul menggunakan kayu besbol kerana tidak mahu bekerja dengan sindiket itu dan mendapat kecederaan selepas ditolak dari tingkat tiga kerana enggan bekerja.

"Saya dibawa individu tempatan ke hospital dan menerima rawatan lebih dua minggu atas kecederaan dialami," katanya yang memberitahu dijemput pekerja sindiket untuk pulang ke bangunan itu selepas keluar hospital.

Menurutnya, ketika itu dia sempat menghubungi ahli keluarga dan rakan untuk memaklumkan kejadian dan meminta bantuan untuk pulang namun, ahli keluarga diarah membayar RM120,000 untuk pembebasannya.

Katanya, ahli keluarga dan rakan berhasil mengumpul wang itu dan diserahkan kepada sindiket sebelum dia dihantar ke Mae Sot, Myanmar.

"Dengan bantuan pihak kedutaan serta pihak berkuasa, saya berjaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Mei lalu.

"Saya bersyukur dapat pulang selepas hampir dua bulan jadi tawanan sindiket itu," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2022 @ 3:10pm
d