mutakhir

5 sindiket curi motosikal tumpas, 21 individu ditahan polis

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Lima sindiket curi motosikal di Seberang Perai Tengah tumpas selepas polis menahan 19 lelaki dan dua wanita dalam beberapa serbuan yang diadakan pada 18 Mei hingga 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu menubuhkan pasukan khas bagi mengesan sindiket dan individu yang terbabit dalam kes curi motosikal.

Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan kajian pada bulan April dan Mei lalu mendapati terdapat 37 motosikal dilaporkan hilang dalam daerah berkenaan.

"Hasil risikan, kami berjaya mengesan beberapa kumpulan yang terbabit dalam kes ini dan berjaya menumpaskan lima sindiket dengan membuat 21 tangkapan membabitkan 19 lelaki serta dua wanita berusia lingkungan 14 hingga 37 tahun dalam serbuan di sekitar kawasan Kupang, Baling, Sik, Kedah, Junjong, Juru, Bukit Tengah dan Seberang Perai Utara.

"Kumpulan ini dikenali sebagai Geng Kupang, Geng Humairah, Geng Chot, Geng Pondok dan Geng Junjong," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, sebahagian suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes curi motosikal, pecah rumah dan dadah.

"Dalam serbuan yang diadakan, polis turut merampas 12 buah motosikal, tiga casis motosikal dan satu enjin motosikal.

"Dengan tertumpasnya sindiket ini, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian sekitar Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda.

Disiarkan pada: June 9, 2022 @ 4:15pm
d