mutakhir

Polis cari 'Aimay' bantu siasatan kes tembak wanita hamil

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Polis mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh wanita hamil yang ditemukan dengan kesan tembakan pada perut dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Repek, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, lelaki berkenaan dikenali sebagai Zulhakimy Aiman Suhaidruddin, 21, atau nama gelarannya 'Aimay' yang berasal dari Kampung Pak Jak, di sini.

Menurutnya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Nor Mazura Yaacob di talian 013-9405819 atau mana-mana balai polis terdekat.

"Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan mayat Farrah Emirah Mazlan, 26, yang mengandung tujuh bulan ditemui pada 4 petang Sabtu lalu oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Mangsa yang bekerja sebagai peniaga ditemui terbaring di tempat duduk pemandu dengan kesan tembakan di perut kirinya dalam kereta Nissan Cefiro yang didaftarkan atas nama ibu kepada tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun itu.

Disiarkan pada: June 9, 2022 @ 7:35pm
d